CARA MOHON PEMBAHAGIAN PUSAKA | Al-Fatihah buat ayahanda Mohd Yusof. Hari ini Sha nak kongsi pengalaman menguruskan pusaka peninggalan arwah ayah. Isu begini mungkin agak tabu bagi sesetengah pihak untuk membincangkan urusan pusaka selepas kematian orang tersayang, tetapi menurut agama sendiri menyarankan kita menyegerakan perihal pusaka. Selepas kematian 3 perkara yang perlu disegerakan adalah (1) urusan jenazah simati (2) selesaikan hutang si mati dan yang ke (3) uruskan pusaka si mati. Di dalam hal ini Sha mengambil tanggungjawab sebagai anak sulung untuk menguruskan semua ini memandangkan mak Sha tidak sihat untuk ke hulu ke hilir membuat urusan.
Sha tidak ada pengalaman menguruskan semua ini jadi Sha ke pejabat Unit Pembahagian Pusaka Terengganu Utara yang terletak di sebelah pejabat lama Sha terletak di Bangunan Persekutuan Daerah Besut. Pegawai di pejabat pusaka menyatakan bahawa jika si mati mempunyai tanah maka semua urusan pusaka akan diuruskan oleh pihak Unit Pembahagian Pusaka jika si mati hanya mempunyai duit didalam akaun bank urusan perlu dirujuk ke Amanah Raya. Sha tidak pasti sama ada ayah sudah menyelesaikan perihal tanah rumah sebelum ini jadi Sha pulang ke rumah semula.
Senarai semak Permohonan (BORANG A-Seksyen 8)
1. Salinan borang A yang telah lengkap diisi dan ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah / Majistret
2. Bukti kematian- salinan sijil kematian
3. Salinan kad pengenalan pemohon
4. Salinan kad pengenalan waris (salinan muka depan dan belakang) / Sijil kelahiran (bagi waris berumur kurang dari 12 tahun)
5. Salinan Sijil Nikah / Sijil Perkahwinan simati- jika ada
6. Harta Tak Alih (Hakmilik/Geran)- Sila dapatkan salinan yang diakui sah (CTC)/carian rasmi dari Pentadbir Tanah atau Pendaftar hak milik bagi harta tak alih yang dituntut. Kemukakan salinan asal
carian rasmi tanah CTC, carian rasmi bersama satu salinan yang telah difotostat. (Mengikut keperluan)
atau
2 salinan Surat Perjanjian Jual Beli harta yang dituntut /rumah - jika harta tersebut masih belum mempunyai hakmilik.
7. Salinan sijil pendaftaran /pengangkatan Anak Angkat (Bagi Bukan Islam,jika ada)
8. Salinan resit cukai tanah dan tahun semasa, jika ada.
9. Salinan resit cukai pintu (taksiran)tahun semasa bagi pemilikan untuk bangunan atau blok berbilang tingkat atau berbilang lapisan petak tanah.
10. Dokumen-dokumen yang terkini berkaitan dengan pemilikan harta alih simati (termasuk penyata akaun simpanan, salinan sijil saham, salinan hakmilik kenderaan dll harta alih, jika ada.
11. Salinan dokumen penyata hutang yang masih ditanggung oleh si mati- jika ada.
Banyak juga kan perlu diselesaikan. Sha selesaikan semua dalam satu hari memandangkan semua dokumen arwah ayah letak satu tempat sahaja. Yang penting pergi ambil borang A di Unit Pembahagian Pusaka terdekat kemudian ke kaunter taksiran yang terletak di Pejabat Daerah & Tanah terdekat untuk carian rasmi dengan kos sebanyak RM 20.00 sahaja. Kemudian bawa borang A yang sudah lengkap diisi ke Mahkamah Majistret untuk cop sumpah dengan bayaran RM 4.00.
Korang jangan lupa fotostat apa yang berkaitan, hari itu tak tahulah berapa banyak habis fotostat dokumen berkenaan borang A pun Sha fotostat sebagai simpanan sendiri. Bawa Borang A bersama dokumen yang ada dalam senarai semak diatas ke pejabat Unit Pembahagian Pusaka semula untuk daftar kes dengan Guaman Pembahagian. Korang akan dapat satu surat daripada mereka dengan no fail daftar jadi lepas tu korang tunggulah diaorang hubungi untuk hari perbicaraan katanya proses mengambil masa 4 bulan.
Ok setakat ini dahulu nanti Sha kongsi pengalaman lain pula. Segerakan mana yang perlu supaya tiada masalah dikemudian hari tambah pula manusia mempunyai sifat mazmumah yang kita tidak sedari dan boleh memberi kesan dan akibat yang tidak disangka.
Sekian, terima kasih.
#missuayah
4 Comments
Semoga Allah permudahkan urusan ye :)
ReplyDeleteAl-Fatihah buat ayahanda Sha..
ReplyDeleteLZ ada beberapa pengalaman menguruskan Harta Pusaka di Bahagian Harta Pusaka Kecil..
Dalam hal pembahagian harta pusaka perkara yang sangat penting kerjasama dan muafakat antara waris.. In shaa Allah Sha dipermudahkan urusan..
semoga dipermudahkan urusan sha n fmly
ReplyDeletealhamdulillah.. lancar urusannya. Salam takziah cikma
ReplyDeleteTerima Kasih Daun Keladi